Thursday, 9 August 2012

Surah Al-N'aam

Muqaddimah Surah Al-N'aam

Surah ini diturunkan di Mekah, mengandungi 165 ayat. Dinamakan surah "Al-N'aam" (Binatang Ternak), kerana perihalnya disebutkan mulai ayat 136.

Kandungannya: Menerangkan dalil-dalil dan bukti yang menegaskan tentang tauhid - keesaan Allah 'Azza wa Jalla, kerasulan Nabi Muhammad (s.a.w.), dan perihal hari akhirat.

Membentangkan hujjah-hujjah yang menolak "Syubhat-syubhat" (perkara-perkara yang menimbulkan kesamaran) atau yang mengelirukan, yang selalu ditimbulkan oleh musuh-musuh Islam.

Mendedahkan kepercayaan sesat kaum Jahiliyah terhadap binatang-binatang ternak dan tentang perbuatan mereka menghalalkan dan mengharamkan sesuatu, padahal Allah jualah yang berhak menghalalkan dan mengharamkannya.

Setelah menceritakan perihal Nabi-nabi (a.s.) yang menjadi ikutan dan menegaskan bahawa Al-Qu'ran mengandungi berkat (amat banyak faedah dan manfa'atnya) yang akan didapati oleh orang-orang yang beriman yang mematuhi ajarannya, lalu diterangkan tentang orang-orang yang mati dalam keadaan kafir. Mereka diseksa oleh malaikat-malaikat azab mulai dari mereka berada dalam "sakratu'l-maut" dan dihinakan dengan sehina-hinanya.

Surah ini diakhiri supaya tiap-tiap seorang yang beriman mengakui ni'mat hidayah pertunjuk Allah yang menyebabkannya berada di dalam Islam, yang disampaikan oleh Nabi Muhammad (s.a.w.), lalu diperintahkan supaya setiap orang yang beriman menegaskan dengan sepenuh tauhid:

"Sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam".

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...