Muqaddimah Surah Al-Baqarah
Surah ini ialah surah yang terpanjang sekali di antara surah-surah Al-Qur'an, ia mengandungi 286 ayat dan meliputi juz pertama, juz kedua dan tiga per lapan juz ketiga.
Surah "Al-Baqarah" ini diturunkan di Madinah sebaik-baik sahaja Nabi (s.a.w) berhijrah ke Madinah dan orang-orang Islam terbentuk sebagai satu umat dalam sebuah negara merdeka - Negara Islam, yang berpenduduk bukan sahaja dari orang-orang Islam tetapi juga sebahagian kecil di antaranya ialah orang-orang Yahudi dan lain-lainnya.
Bagi memenuhi hajat umat Islam yang baharu terbentuk itu, ia memerlukan hukum-hukum syara' untuk mengatur hidupnya supaya selamat sempurna, dan memandu usaha mengembangkan Islam kepada orang-orang yang bukan Islam, maka turunlah ayat-ayat suci yang terkandung di dalam surah Al-Baqarah ini dari semasa ke semasa, menurut maksud-maksud dan tujuan yang tersebut.
Kandungan surah Al-Baqarah ini pada umumnya terbahagi kepada dua bahagian.
Dalam bahagian yang pertama - kecuali beberapa ayat pada permulaan surah ini yang menegaskan kebenaran Al-Qur'an, dan menerangkan sifat orang-orang yang beriman, orang-orang kafir dan orang-orang munafik, dan menyeru umat manusia seluruhnya supaya menyembah Allah Yang Maha Esa dan jangan mempersekutukanNya dengan sesuatu yang lain, serta diterangkan tentang kejadian manusia, dan alam langit dan bumi, dan tentang balasan baik (ni'mat syurga), dan balasan buruk (azab neraka), dan juga tentang perihal Nabi Adam (a.s.) serta keingkaran Iblis; - mulai dari ayat 39, firman Allah Ta'ala ditujukan kepada kaum musyrik Arab dan kaum Yahudi supaya mereka memeluk Islam, dengan beriman kepada Kitab Allah Al-Qur'an dan kepada RasulNya Nabi Muhammad (s.a.w.).
Dalam bahagian yang kedua pula diterangkan secara luas tentang hukum-hukum syara' bagi mengatur kehidupan umat Islam meliputi "Ibadat" (sembahyang, zakat, puasa, haji, dan jenis-jenis kebajikan); "Mu'amalat": (berjual beli, hutang piutang, wasiat, menjadi saksi dan sebagainya); "Munakahat": (nikah kahwin, talak dan segala yang berhubung dengannya); "Jinayat" (jenayah) serta soal-soal umum yang lain.
Dalam Sahih Muslim ada satu hadith yang bermaksud: "Bacalah kamu surah Al-Baqarah kerana sesungguhnya menerima ajarannya mendatangkan berkat (kebaikan yang banyak), dan membiarkannya (mencuaikannya) menyebabkan timbul perasaan sesal dan kecewa; dan orang-orang yang menceburi diri dalam keadaaan yang batil (yang salah) tidak akan dapat menggunakan ajarannya".
No comments:
Post a Comment