Muqaddimah Surah Al-Faatihah
Surah ini dinamakan "Al-Faatihah" (Pembukaan atau yang mula-mula). Ia juga dinamakan "Ummu'l-Qur'an" (Ibu Al-Qur'an) dan "Ummu'l-Kitab (Ibu Kitab Suci), kerana mengandungi secara ringkas dasar-dasar yang kerananya Al-Qur'an diturunkan untuk menerangkan satu persatu, iaitu :
- Menerangkan wujudnya Allah 'Azza wa Jalla yang mencipta seluruh alam.
- Menyebutkan kesimpulan sifat-sifat Al-Jalaal (Kebesaran) dan sifat-sifat Al-Kamaal (Kesempurnaan).
- Menyatakan kepada manusia akan hari kiamat yang padanya kelak ia akan menerima balasan amalnya, supaya seseorang itu tidak menumpukan usahanya kepada mencari nikmat hidup dunia dan kelazatannya semata-mata.
- Menerangkan tugas yang kerananya manusia diciptakan oleh Allah Ta'ala, sebab ibadat itu dengan segala jenisnya tidak diperlukan oleh manusia kerana ia menghidupkan iman, menyihatkan tubuh badan, memperbaiki akhlak dan mensucikan jiwa. Maka berhasillah kebahagiaan manusia - kebahagiaan perseorangan dan kebahagiaan orang-orang yang sejenis dengannya.
- Memperkatakan tentang kelemahan manusia, bahawa ia tidak akan dapat melakukan sesuatu pun melainkan dengan pertolongan Allah Ta'ala dan izinNya.
- Menerangkan bahawa perkara yang utama dihajati dan dipohon daripada Allah Ta'ala ialah memperoleh hidayah dan taufik ke jalan yang membawa kebahagiaan dan cara melaluinya. Kerana telah sedia ada berbagai jalan yang akan ditempuh, dan cara-cara melaluinya pula banyak, berbilang-bilang dan berlain-lain, disebabkan berlain-lain tabiat, adat dan hawa nafsu yang beranika ragam.
- Mengarahkan manusia kepada memerhati dan memikirkan kisah-kisah umat-umat yang telah lalu dan hal ehwalnya, supaya ia memilih akan apa yang menyebabkan kebahagiaan mereka, dan berjaga-jaga serta menjauhkan diri dari apa yang menyebabkan kecelakaan mereka, sehingga dapatlah ia hidup di dunia ini dalam keadaan yang selamat dan berjaya mendapat nikmat yang kekal pada hari akhirat kelak dalam syurga "Daru's-Salam".
Rasulullah (S.A.W.) pernah menyatakan kelebihan surah ini dengan sabdanya yang bermakna: "Tidak ada didalam Kitab-kitab yang telah diturunkan oleh Allah satu surah yang sama kelebihannya seperti Ummu'l-Qur'an".
Demikianlah kelebihan surah Al-Faatihah yang diwajibkan kepada orang yang mengerjakan sembahyang membacanya sekurang-kurangnya tujuh belas kali sehari semalam jika ia tidak musafir.

No comments:
Post a Comment