Friday, 27 July 2012

Surah An-Nisaa'

Muqaddimah Surah An-Nisaa'

Surah ini diturunkan di Madinah, mengandungi 176 ayat. Dinamakan surah "An-Nisaa'" (Perihal Perempuan), kerana banyak sekali hukum-hukum mengenai Kaum Perempuan ada disebutkan di dalamnya.

Intisari kandungannya : Menerangkan hukum beristeri lebih dari satu; bayaran maskahwin; perintah supaya bergaul dengan isteri dengan cara yang baik dan jangan terburu-buru menceraikannya jika timbul perasaan benci terhadapnya; larangan mengambil harta benda yang telah diberikan kepada isteri setelah ia diceraikan; kaum perempuan - seperti kaum lelaki - ada bahagian dari apa yang mereka usahakan; sebabnya kaum lelaki menjadi pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan; sifat isteri yang salih; cara melayani isteri yang nusyuz (derhaka); lantikan "orang tengah" semasa berlaku perselisihan di antara suami isteri untuk didamaikan.

Ditegaskan pula bahawa orang-orang yang memakan harta anak-anak yatim dengan cara yang salah, samalah seperti menelan bara, dan mereka akan beroleh azab seksa.

Pembahagian harta pusaka: Dalam surah ini diterangkan dengan panjang lebar tentang orang-orang lelaki dan orang-orang perempuan yang berhak mendapat harta pusaka, dan tentang bahagian yang akan didapati oleh tiap-tiap seorang menurut cara yang telah ditetapkan oleh Allah Ta'ala.

Orang-orang yang menjalankan pembahagian harta pusaka bertentangan dengan hukum Syara', diberi amaran yang sekeras-kerasnya bahawa mereka akan di seksa dalam neraka.

Selain dari itu, surah "An-Nisaa'" ini dipenuhi dengan hukum-hukum yang diwajibkan atas orang-orang Islam menjalankannya untuk menguruskan soal-soal hidup dan untuk menegakkan taraf mereka sebagai satu umat dalam negara yang merdeka dan berdaulat; dan juga supaya mereka bersiap sedia pada bila-bila masa untuk menentang sebarang pengkhianatan atau sebarang serangan bersenjata dari pihak musuh.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...