Muqaddimah Surah Al-Maa'Idah
Surah ini diturunkan di Madinah, mengandungi 120 ayat. Dinamakan surah "Al-Maa'Idah" (Hidangan), kerana peristiwa mengenainya ada disebutkan dalam ayat-ayat 112-115.
Kandungannya: Pada awal surah ini, Allah Taa'la perintahkan orang-orang yang beriman supaya memenuhi serta menyempurnakan perjanjian, sama ada perjanjian itu berhubung dengan Allah Taa'la atau berhubung dengan sesama manusia.
Kemudian diperintahkan lagi supaya menjalankan dasar bantu-membantu dan bertolong-tolongan mengerjakan perkara-perkara yang berkebajikan, dan jangan bertolong-tolongan untuk melakukan dosa dan pencerobohan.
Diperintahkan juga supaya berlaku adil kepada sesiapa sahaja.
Setelah itu diterangkan pula bahawa Allah Taa'la telah menyempurnakan agama Islam dan telah mencukupkan ni'matNya kepada umat Islam serta redhakan "Islam" menjadi agama umat Muhammad (s.a.w.).
Kepada Ahli-ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) ditegaskan: Bahawa Nabi Muhammad (s.a.w.) telah datang kepada mereka, menerangkan banyak dari keterangan-keterangan dan hukum-hukum yang mereka telah sembunyikan dari Kitab-kitab Suci mereka.
Ditegaskan juga bahawa Nabi Muhammad (s.a.w.) adalah sebagai Nur (cahaya) yang menerangi dengan membawa Al-Qur'an yang menunjukkan jalan keselamatan dan kesejahteraan kepada sesiapa yang menurut keredhaan Allah, serta mengeluarkan mereka dari gelap gelita kufur kepada cahaya iman.
Kemudian diterangkan tentang benda-benda yang diharamkan, hukum orang murtad, hukum orang yang mencuri, dan hukum orang-orang yang melakukan keganasan dan membunuh orang.
Banyak juga ayat-ayat dalam surah ini menerangkan hujjah-hujjah yang membuktikan kekufuran kaum Yahudi dan Kristian, serta menegaskan bahawa sebesar-besar musuh bagi umat Islam ialah kaum Yahudi dan orang-orang kafir musyrik yang menentang Islam.
terima kasih..info yg baik..bleh letakkan surah yassin n ayat kursi...
ReplyDeletesama2... InsyaALLAH... (^_^)
ReplyDelete